CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, March 18, 2008

Lagu


Negaraku

Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita
selamat bertakhta


Lagu Negaraku (Jawi: نڬاراکو, bahasa Cina: 我的祖国, Tamil:நெகாராகூ) dipilih daripada lagu rasmi negeri Perak yang berasal daripada Pulau Mahé di Kepulauan Seychelles, telah dibawa pulang oleh Raja Abdullah setelah baginda selesai menjalani hukuman dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles, kerana didakwa bersubahat membunuh Residen British,JWW Birch. Lagu ciptaan penggubah Perancis, Pierre Jean de Beranger (1780-1857) ini, kemudiannya telah diberikan seni kata baru dan dinamakan "Allah Lanjutkan Usia Sultan" seterusnya dijadikan lagu rasmi Negeri Perak Darul Ridzuan.

Lagu rasmi negeri Perak "Allah Lanjutkan Usia Sultan" ini telah dipilih menjadi lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu oleh jemaah hakim yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 5 Ogos 1957. Upacara pemilihan lagu kebangsaan ini berlangsung di Dewan Polis Depoh, Kuala lumpur.

Sebanyak 4 buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis DiRaja. Lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan telah terpilih. Keputusan jemaah hakim ini kemudian telah dikemukakan kepada Majlis Raja-raja Melayu.

Setelah dipersetujui, kerajaan telah mengeluarkan tawaran RM1,000 kepada pengubah untuk mencipta seni katanya. Tawaran ini telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri dan lagu kebangsaan 'Negaraku' gubahan beliau terdapat dalam 3 versi.

Lagu Negaraku telah ditukar rentak kepada rentak yang lebih rancak oleh Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ke-4. Lagu Negaraku berentak baru dipersembahkan buat kali pertama pada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka tengah malam 30 Ogos 2003.

Lagu Negaraku berentak baru itu dimainkan selepas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir melaungkan "Merdeka" sebanyak tujuh kali. yang keempat,

Lirik Negaraku berentak baru masih sama. Cuma permulaan lagu itu perlahan seperti irama lagu Negaraku yang asal dan selepas itu, pergerakannya akan bertambah laju.


BERNAMA


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, sebuah badan berkanun, ditubuhkan dibawah Akta Parlimen 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Sebuah Majlis Penyeliaan terdiri daripada lima anggota yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diwujudkan untuk mengawasi supaya BERNAMA berpandukan kepada peruntukan-peruntukan Akta dalam melaksanakan objektif-objektifnya.

BERNAMA dikelolakan oleh sebuah Lembaga Pengelola yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Anggota-anggota Lembaga mengandungi seorang Pengerusi, enam wakil Kerajaan Persekutuan dan enam wakil akhbar yang melanggan dengan BERNAMA. Mereka mempunyai anggota gilir masing-masing yang juga dilantik oleh Seri Paduka Baginda.

Pengurusan BERNAMA diketuai seorang Pengurus Besar yang dibantu oleh sebuah Jawatankuasa Pengurusan dalam melaksanakan sebuah program dan aktiviti agensi serta keputusan-keputusan Lembaga Pengelola.

BERNAMA mempunyai pejabat-pejabatnya di semua negeri di negara ini dan perwakilannya di Singapura dan Jakarta dan retainer di Washington, London, Manila, New Delhi, Dhaka, Melbourne dan Vancouver.

Seluruh operasi BERNAMA menggunakan komputer dan ia memberikan perkhidmatan berita am dan ekonomi dan perkhidmatan layar maklumat kewangan tepat masa kepada pelanggan-pelanggannya di Malaysia dan Singapura.

Peranan BERNAMA sebagai sumber berita yang terkini dan boleh dipercayai amat dikenali dikalangan media tempatan dan asing, agensi-agensi kerajaan, swasta, universiti dan individu di negara ini.

Kebanyakan akhbar dan media elektronik di Malaysia dan agensi-agensi berita asing adalah pelanggan-pelanggan BERNAMA. BERNAMA beroperasi dalam industri maklumat yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga berpotensi besar untuk berkembang.

Sebelum ini berita-berita dan maklumat yang dikeluarkan oleh BERNAMA hanya dalam bentuk teks dan gambar tetapi dengan wujudnya unit audio-visual atau dikenali sebagai BERNAMA TV pada September 1998, ia kini boleh diperolehi juga dalam bentuk visual.

BERNAMA melancarkan Radio 24, stesen radio berkonsepkan berita yang pertama di Malaysia yang beroperasi secara 24 jam sehari pada 3 September 2007. Pada 28 Februari 2008, BERNAMA TV saluran berita Malaysia 24 jam dilancarkan melalui saluran 502 ASTRO.

Jalur


Bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malayasia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia.

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bentuk bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Dayang Bunting


Pulau Dayang Bunting merupakan pulau yang terbesar selepas Langkawi di Kedah. Ia terletak 17.6 km atau kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari jeti Kuah, Langkawi. Jalan perhubungan hanya melalui bot laju yang boleh disewa di jeti pekan Kuah, pulau Langkawi dengan kadar pakej RM45.00 seorang.

Pulau ini mendapat nama daripada kisah gergasi sakti yang bernama Dayang Bunting. Pulau ini seimbas lalu menyerupai gergasi hamil yang terlena. Dalam perjalanan ke Tasik Dayang Bunting, kita akan lihat bentuk gunung yang menyerupai seorang perempuan sedang terbaring dengan bentuk kepala , dada dan perut yang sedang bunting.

Antara tempat yang menarik di sini ialah Tasik Dayang Bunting dan Gua Langsuir. Gua Langsuir terletak di tengah perjalanan ke Tasik Dayang Bunting. Gua ini adalah akibat kesan hakisan ombak laut jutaan tahun lampau. Terdapat bentuk-bentuk tergantung iaitu stalagtik yang mempunyai pelbagai bentuk - lalu dinamakan langsuir.

Di tengah pulau Dayang Bunting pula terdapat tasik air tawar yang berkeluasan 3 padang bola sepak. Sebuah jeti telah dibina di tepian pulau Dayang Bunting untuk bot-bot pelancong singgah. Tangga-tangga dibina ke atas dan kemudian kemudian menurun ke bawah - jaraknya 1 km sahaja . Sebuah pelantar dibina di tepi tasik dan disediakan jaket keselamatan dan bot berdayung dengan kaki dengan sewaan RM15.00 . air tasiknya hijau jernih dan menimbulkan panorama yang menarik.

Wednesday, March 12, 2008

Khazanah Pemberian Tuhan


PETRONAS yang bertitik-tolak daripada sebuah badan kerajaan Perbadanan Minyak Malaysia telah ditubuhkan pada 17 Ogos 1974. PETRONAS atau Petroliam Nasional Berhad telah didaftarkan di bawah Akta Syarikat-Syarikat 1965.


Pada 1 Oktober 1974, dengan termaktubnya Akta Kemajuan Petroleum, PETRONAS telah diberi hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan di dalam mengendali dan memajukan sumber petroleum di Malaysia. Individu yang bertanggungjawab mengasaskan PETRONAS ialah Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika itu terpengaruh dengan kejayaan syarikat minyak milik Indonesia iaitu PERTAMINA.


Sebelum 1974, operasi petroleum di Malaysia dijalankan oleh syarikat minyak multinasional menerusi sistem konsesi untuk mencarigali petroleum di perairan Sarawak, Sabah dan Terengganu. Antara syarikat-syarikat carigali minyak yang memegang konsesi ialah Shell dan ExxonMobil. Kilang penapisan minyak Shell di Port Dickson dibuka pada tahun 1962. Ketika itu minyak dibeli dari luar negara


Penubuhan perbadanan minyak negara merupakan titik tolak kepada kawalan dan penglibatan negara yang lebih dalam industri petroleum. Antara pengerusi Petronas ialah Raja Mohar bin Raja Badiozaman. Minyak mula dijumpai di Miri terutama oleh orang Melayu dan Iban di daerah Baram.


Sebab penubuhan Petronas ialah Tahun Larangan Eksport Minyak OPEC.Krisis minyak 1973 menyedarkan kerajaan betapa perlunya mengawal sebuah industri yang mempunyai kepentingan ekonomi. Sejumlah 19 buah medan minyak ditemui di perairan Malaysia. 90,000 tong minyak sehari dikeluarkan.










Wednesday, March 5, 2008

Jambatan


Jambatan Pulau Pinang merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. Ia adalah sepanjang 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut. Ia menghubungkan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan tanah besar semenanjung di Seberang Prai.



Kerja pembinaan bermula pada tahun 1982 dan siap dibina pada tahun 1985, hanya 3 tahun sahaja dan ia memakan belanja sebanyak RM 850 juta. Jambatan ini membawa kebanggaan kepada negara. Ia diakui sebagai pencapaian kejuruteraan yang cemerlang di dunia. Ini adalah kerana struktur tengahnya merupakan antara jambatan kabel-penahan (cable-stayed bridge) yang terawal di dunia.


Spesifikasi Jambatan

- Panjang keseluruhan: 13.5 km (8.4 batu)
- Panjang melintasi air: 8.4 km (5.2 batu)
- Laluan Pulau Pinang: 1.5 km (1.0 batu)
- Laluan Seberang Prai: 3.6 km (2.2 batu)
- Laluan: 4 Laluan (6 laluan masa hadapan)
- Tinggi menara dari aras air: 101.5 Meter
- Tinggi jambatan dari aras air: 33 Meter
- Gantungan utama: 225 Meter
- Gantungan hujung: 107.5 Meter
- Gantungan lain: 40 Meter
- Had laju: 80 km/j

Sang Helang


Langkawi merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Pulau Langkawi diberi status bebas cukai pada tahun 1987. Kini, pulau yang kaya dengan keindahan semulajadi dan legenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di Malaysia.



Langkawi sebenarnya merupakan suatu gugusan pulau di mana Pulau Langkawi merupakan yang terbesar. Gugusan Pulau Langkawi terletak di sebelah barat negeri Kedah dan Perlis, Semenanjung Malaysia. Pulau Langkawi di perairan Selat Melaka, betul-betul berhampiran dengan mulut Selat Melaka, Laut Andaman di sebelah Barat Laut dan Lautan Hindi di sebelah Barat. Di seberang pulau Langkawi ialah pulau Sumatra di Indonesia.



Langkawi umpama mutiara yang baru dijumpai oleh kerajaan Malaysia. Terdapat 104 pulau dalam gugusan pulau Langkawi, satu pembentukan dari hanyutan benua yang membentuk Asia Tenggara. Titik tertinggi di Langkawi ialah puncak Gunung Raya yang mempunyai ketinggian 890m di atas aras laut.



Dataran Helang merupakan mercu tanda Langkawi dan juga merupakan tugu tumpuan pelancong yang terkemuka di pulau Langkawi, Malaysia. Ia merupakan patung helang setinggi 12 meter yang menggambarkan Lang yang dari mana Langkawi mendapat namanya. Kedudukan patung Lang gergasi ini terletak bersebelahan dengan pelantar jeti Kuah, dengan sayap berkepak sedia untuk menyusur keudara menjadikannya satu pemandangan yang mengkagumkan bagi para pelancong sedia untuk mendarat di pulau ini.



Rakyat tempatan mencatatkan helang sebagai satu simbol di mana nama langkawi berasal “Lang” adalah sama atau dikata singkatan “helang” manakala “kawi” bermaksud perang merah di Melayu purba. Pada malam, seluruh dataran diterangkan dengan lampu. Dari laut, panorama adalah menakjubkan. Suasana malam sungguh menggasyikkan dengan cahaya lampu daripada kapal yang berlabuh.

Pulau


Pulau Sipadan ialah sebuah pulau lautan berhampiran dengan Semporna, sebuah bandar di pantai timur Sabah, Malaysia. Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari paras air. Pulau Sipadan terkenal sebagai satu pilihan tempat menyelam yang mungkin terbaik di dunia.



Pulau ini pernah sama-sama dituntut oleh Malaysia dan Indonesia. Isu tersebut telah dibawa kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang kemudiannya menyerahkan Pulau Sipadan kepada Malaysia bersama-sama dengan Pulau Ligitan pada 2003. Keputusan ini berdasarkan "penguasaan berkesan - effective occupation" yang ditunjukkan oleh British (bekas pengkoloni Malaysia sebelum ini), dan ketiadaan tuntutan yang lebih baik.



Alam bawah laut Sipadan menawarkan kepada para penyelam pemandangan yang penuh dengan kehidupan marin seperti barracuda, penyu, ikan dan sebagainya. Warna-warna yang banyak dan bertukar ganti, birai, celah, batu rungkupan, gua besar dan cerombong yang menegak di bawah air yang dibentuk oleh pelbagai karang menanti untuk disaksikan oleh para penyelam yang ingin menikmati tempat selam yang menyeronokkan di dunia.



Pulau ini telah diujudkan sebagai tempat perlindungan hidupan liar pada tahun 1933 dan persekitarannya yang asal telah dapat dikekalkan sehingga kini.

Puncak


Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah, Malaysia, mempunyai ketinggian setinggi 4,095 meter daripada aras laut. Gunung Kinabalu merupakan gunung ketiga tertinggi di Asia Tenggara. Gunung Kinabalu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung.



Gunung Kinabalu merupakan lambang kemegahan kepada setiap penduduk yang tinggal di Sabah. Sesetengah penduduk menganggap Gunung Kinabalu ini merupakan gunung yang dapat memberikan semangat juang dan satu padu rakyat Sabah. Gunung Kinabalu banyak menyimpan cerita dan kisah-kisah yang misteri. Menurut kepercayaan masyararakat Bajau Sabah, Gunung Kinabalu merupakan tempat bersemadinya semangat mereka selepas meninggal dunia.



Gunung Kinabalu terhasil dari pertembungan litosfera Laut China Selatan dan litosfera yang membentuk kepulauan Borneo. Litosfera ialah bahagian paling atas permukaan kerak bumi. Dalam pertembungan itu, litosfera Laut Cina Selatan semakin terbenam ke bawah permukaan bumi memberi tekanan kepada litosfera yang membentuk Kepulauan Borneo.



Tekanan itu menolak bongkah Gunung Kinabalu yang terletak di bawah permukaan bumi naik ke atas permukaan bumi. Tolakan itu menyebabkan Gunung Kinabalu semakin meninggi setiap tahun tetapi pada kadar yang amat perlahan (5 mm) dan sukar dilihat dengan mata kasar.



Ketinggian asal Gunung Kinabalu dipercayai lebih tinggi iaitu antara lima hingga lapan kilometer (km) dari ketinggian sekarang. Bagaimanapun hakisan yang berlaku selama berjuta-juta tahun, menyebabkan paras Gunung Kinabalu kini hanya tinggal 4,095 meter. Permukaan asal Gunung Kinabalu terdiri daripada batu-batu sedimen yang terdedah kepada hakisan selama lapan hingga 12 juta tahun. Hakisan yang berterusan itu akhirnya mendedahkan batuan pluton yang lebih tegar.



Kesemua puncak tinggi di dunia dilitupi ais tebal pada waktu kuartenar atau zaman air batu yang berlaku kurang daripada satu juta tahun lalu termasuklah Gunung Kinabalu yang ketika itu sama paras dengan gunung-gunung di Banjaran Himalaya. Ketika waktu itu puncak Kinabalu diliputi ais dan berlaku pergerakan glasier. Kesan pergerakan glasier boleh dilihat di kawasan Pinusok Gravel iaitu satu tempat yang terletak antara Kundasang dan Ranau.

Perwira


Tugu Peringatan Negara atau juga dikenali sebagai Tugu Negara Malaysia disiapkan 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur jasa-jasa pahlawan yang gugur dalam Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.


Pada setiap tahun, 11 November, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.

Dibina pada tahun 1966, tugu tersebut berdiri setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggung jawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat.Pada tahun 1975, tugu tersebut mengalami kerosakan teruk akibat letupan yang diletakkan oleh pengganas komunis. Ia kini telah dipulihkan pada keadaan asal.


Tugu Negara terawal merupakan tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur, bersebelahan Masjid Negara. Ia didirikan oleh Pentakbir British bagi memperingati perperangan dan perwira yang terkorban. Kini hanya asasnya tanah seluas 10 meter persegi yang tinggal.


Kompleks Tugu Negara yang ada kini di kawasan Taman Tasik dibuka pada 8 Februari 1966. Ia memasukkan Taman Peringatan sebagai lambang penghormatan negara kepada perwira yang mengorbankan jiwa mereka bagi menjaga keamanan negara Malaysia. Tiang asal dialih ke kpmpleks Tugu Negara kini dan padanya tercatat tarikh tragedi kemanusiaan: Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1939-1945) dan Darurat (1948-1960).

Dataran


Dataran Merdeka dahulunya dikenali sebagai Padang Kelab Selangor terletak dipusat pentadbiran lama Kuala Lumpur. Pada asalnya ia merupakan padang kriket bagi Kelab Selangor (kini Kelab diraja Selangor). Mengelilingi padang tersebut adalah bangunan bersejarah termasuk Bangunan Kelab Diraja Selangor yang terletak di penjuru padang di mana orang-orang penting Kuala Lumpur sering bertemu, Bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Sejarah Kebangsaan, dan Perpustakaan Peringatan yang dibina 1909, kathedral St Mary's Anglican, bangunan stail Gothik yang berusia lebih seratus tahun dan kompleks Dayabumi moden yang menakjubkan.



Di sinilah, di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dinaikan buat pertama kali pada tengah malam 31 Ogos 1957. Semenjak itu, Dataran Merdeka menjadi tempat perarakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia setiap tahun sejak 1957. Pelbagai acara diadakan di sini. Antaranya ialah Citrawarna dan Larian Merdeka.



Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan mercu tanda yang paling penting yang dibina oleh pihak British, yang mengadap kearah Dataran Merdeka. Seni bina Moorish yang indah ini siap dibina pada 1897, menjadi pejabat beberapa jabatan penting semasa pentadbiran British. Tiang bendera setinggi 95-meter, antara yang tertinggi di dunia, menandakan tapak itu dengan kepingan bulat marmar hitam. Ia terletak di bahagian selatan dataran.



Bangunan kayu separuh Tudor dibina pada 1890 dan menjadi tempat menonton perlawanan Kriket pada petang Ahad. Bangunan Kelab Di raja Selangor stail Tudor, yang dibina pada 1890 jauh berbeza dengan bangunan seni bina Moorish bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak arah bersetentangan dataran. Dataran Merdeka mempunyai bahagian bawah tanah yang dibangunkan pada tahun 1995. Dataran Merdeka bolehlah dikatakan berfungsi sebagai terowong keselamatan jika terjadi peperangan sebagaimana di Iraq.



Namun begitu pada tahun 1998, Dataran Merdeka ditenggelami air banjir kilat yang melimpah dari Sungai Bonus . Tahun 1971 Kuala Lumnpur turut ditenggelami banjir besar. Dataran Merdeka kini digunakan semula untuk sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-50 termasuk Konsert Menjelang Malam Merdeka.

Pusat


Putrajaya atau nama rasminya Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia bagi menggantikan Kuala Lumpur. Putrajaya, bandaraya pintar dalam taman terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya futuristik yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.



Dari sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, kawasan ini melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994. Berbanding dengan Kuala Lumpur, sebuah bandar tinggalan penjajah, Putrajaya dibangunkan oleh anak bangsa sendiri dengan bercirikan budaya tempatan.



Mula dibina pada 16 April 1995, Putrajaya akan menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT). Dengan terbinanya Putrajaya, suatu hari nanti Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjadi Bandar gergasi standing dengan Tokyo dan Yokohama di Jepun.



Untuk mencapai matlamat ini, Wetland Putrajaya telah dibina untuk menyingkirkan sedimen dan membersihkan aliran permukaan yang tercemar sebelum ia memasuki tasik. Sesuai dengan lokasinya di tengah-tengah bandaraya, Wetland Putrajaya menjadi titik penting dalam membawa rakyat untuk bersama-sama mencapai matlamat dari segi rekreasi, pendidikan dan penyelidikan.



Lokasinya yang berada ditengah-tengah Koridor Raya Multimedia, Putrajaya seluas 4,931 hektar ini dibangunkan dengan kos RM20.5 billion mengandungi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Perumahan, Kemudahan komersial, kemudahan sosial dan kemudahan keagamaan.



Pada 10 Mei 1999, Kompleks Pejabat Perdana Menteri mula beroperasi di Putrajaya. Putrajaya menjadi penanda aras kepada pembangunan dan pentadbiran sesebuah bandar baik di peringkat dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Wednesday, February 27, 2008

Ketinggian


Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, Malaysia, merupakan struktur yang tertinggi di dunia apabila diukur dari aras pintu utama sehingga ke puncak struktur antara 1998 dan 2004. Ia telah dipintas oleh menara Taipei 101 pada 17 Oktober 2003. Menara Berkembar Petronas masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia, dan merupakan bangunan tertinggi bagi abad ke-20. Pengkritik mendakwa bahawa ia cuma tertinggi pada salah satu dari empat kategori yang ada, walaupun sebenarnya tiga kategori yang lain itu cuma diperkenalkan apabila menara berkembar ini hampir siap pada akhir 1996.


Syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas, bertekad untuk membina bangunan tertinggi dunia. Walaupun bangunan lain seperti Menara Sears mempunyai tingkat dihuni lebih tinggi, kemuncak (pinnacle) lebih tinggi, dan atap yang lebih tinggi, puncak (spires) Menara Berkembar Petronas menjulang sehingga 452 meter (1483 kaki) — tertinggi sehinggalah Taipei 101. Mengambil kesempatan berkenaan peraturan mengenai ukuran bangunan (mengira puncak (spires) tetapi menolak antena) telah menimbulkan banyak kontrovesi di atas dakwaan Menara Berkembar Petronas sebagai gelaran menara tertinggi dunia.


Kejadian pertama menggunakan puncak (spire) untuk meningkatkan tinggi diwartakan sesebuah bangunan adalah apabila Bangunan Chrysler didirikan. Puncak tersebut dibina secara rahsia bagi membolehkan Bangunan Chrysler berdiri lebih tinggi berbanding Bangunan Bank Of Manhattan. Menara Berkembar Petronas dibina diatas tapak seluas 40 hektar di kawasan Segi tiga emas Kuala Lumpur. Ia direka oleh arkitek Cesar Pelli dan disiapkan pada Mac 1996.Menara kaca dan kelili tahan karat setinggi 88-tingkat, merupakan imbasan warisan Muslim Malaysia. Struktur asas merupakan rekabentuk yang dimajukan dari bangunan Chicago yang dibatalkan.



Untuk membuat tapak Menara Berkembar Petronas, bumi digali sedalam 117 meter, iaitu setinggi bangunan lima tingkat. Sejumlah 7,000 meter padu simen konkrit telah dituangkan selama dua minggu secara berterusan. Beratnya keseluruhan bangunan 100,000 tan. Menara ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang unik dan pertama kali digunakan di Malaysia. Sewaktu berlaku gempa bumi atau puting beliung, menara ini akan condong. Kecondongannya mengikut tiupan angin kencang hingga 1.5 meter. Apabila bencana reda, menara akan tegak seperti biasa.


Terdapat 12 biji lampu disekeliling menara ini yang berkelip-kelip 24 jam sehari. Setiap satunya berharga RM15,000. Jumlah kos pembinaan Menara Berkembar Petronas RM270 juta. Menara Berkembar Petronas mempunyai laluan angkasa antara kedua menara pada tingkat 41 dan 42. Ia setinggi 170 meter dan sepanjang 58 meter. Tingkat yang sama dikenali sebagai podium kerana pelawat yang ingin pergi lebih tinggi perlu singgah untuk bertukar lif. Jambatan angkasa terbuka kepada semua tetapi perlu mengambil pas pelawat.



Bunga Bumi Malaysia


Bunga Raya merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang sering di tanam sebagai pokok hiasan. Tumbuhan berbunga mula muncul pada zaman Cretaceous. Pokok berbunga pertama adalah angiosperm.Hibiscus rosa-sinensis adalah bunga kebangsaan Malaysia, dikenali sebagai Bunga Raya. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan.
Pada akhir pada tahun 1958 Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Bunga yang dicadangkan adalah Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung. Selepas perbincangan, pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuh Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai bunga kebangsaan.


Hibiscus Cina (Hibiscus rosa-sinensis L.; Keluarga Malvaceae) adalah pokok renek asal di barat Asia, juga dikenali sebagai mawar China dan bunga Kasut. Ia ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.


Pelbagai cultivars, varieties, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda. Bunga ini digunakan bagi mengilat kasut disebahagian India.